Kelahiran Mahsuri itu sendiri disulami dengan keajaiban apabila dikatakan sebenarnya Pandak Mayah dan Endak Alang tidak mempunyai anak walaupun telah lama berkahwin. Namun pada suatu hari, Pandak Mayah menemui kerak nasi yang mengeluarkan bunyi seakan bayi menangis sewaktu berehat setelah mengerjakan sawah. Kerak nasi tersebut dicampur sedikit dengan nasi yang ditanak, dan untuk berberapa lama, akhirnya Endak Alang hamil. Dan sewaktu Mahsuri dilahirkan dikatakan padi menguning seakan emas yang berkilauan. Kehadiran Mahsuri dalam kehidupan pasangan miskin itu membuka pintu rezeki yang luas apabila Pandak Mayah menemui lubuk kemenyan dan juga sarang burung layang-layang, yang kemudiannya menjualnya kepada pedagang-pedagang Cina dari Pulau Pinang. Sejak dari itu kehidupan tiga beranak itu berubah dan Pandak Mayah mula digelar Orang Kaya Pandak Mayah.
Mahsuri dididik dengan segala nilai seorang gadis melayu sejati, pelajaran agama yang cukup serta dikatakan juga Mahsuri diajar bersilat demi mempertahankan diri. Akhirnya Mahsuri membesar sebagai seorang dara pingitan yang menjadi sebutan dan rebutan kerana sifatnya dan tentunya kejelitaannya yang dikatakan cukup luar biasa. Kemahsyuran Mahsuri bukan setakat terbendung di Kampung Mawat dan Mukim Ulu Melaka-tempat tinggalnya, malah seluruh Pulau Langkawi. Namun selain dari kemahsyuran yang disebut orang, sedikit sebanyak membuahkan rasa iri hati terutamanya di kalangan kaum wanita, yang tidak senang melihat kebanyakan lelaki memuji-muji Mahsuri.
Ini termasuklah Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya, Penghulu Langkawi iaitu wakil Sultan Kedah di Langkawi. Dan pastinya mengundang rasa resah yang meluap-luap dari isterinya, Wan Mahora. Rasa amarah membara apabila Wan Mahora mendapat tahu yang suaminya menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri sebagai isteri kedua. Namun, Wan Darus, adik lelaki tunggal Wan Yahya juga menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri. Demi mengelakkan rumah tangganya goyah, memandangkan Wan Yahya adalah pembesar di pulau itu, Wan Yahya merestui akan niat Wan Darus, walaupun dalam diam Wan Yahya masih menyimpan keinginan terhadap Mahsuri.
Majlis perkahwinan berlangsung dengan secara besar-besaran dan penuh meriah. Wan Mahora menerima Mahsuri sebagai iparnya walau pun jauh disudut hati, cemburu masih ada. Maka, bermulalah kehidupan Mahsuri sebagi isteri kepada Wan Darus dan dalam pada masa yang sama menyebabkan kekecewaan di hati kebanyakan lelaki yang gagal memilikinya, dan juga wanita, tentunya kerana kejelitaan yang dimiliki Mahsuri dan bersuamikan Wan Darus, yang dikatakan juga seorang pahlawan yang gagah perkasa serta tak kurang tampannya.
Namun dalam pada masa yang sama hubungan Kedah dan Siam bertambah keruh. Siam mula menakluki utara Kedah, menyebabkan perang berlaku. Baginda Sultan memerintahkan tentera dikerah dari setiap ceruk rantau negeri Kedah demi mempertahankan negeri. Dan dalam pada masa yang sama Mahsuri sedang hamil anak yang sulung. Datuk Pekerma Jaya memeperintahkan orang-orang Langkawi dikumpulkan untuk membantu tentera Kedah yang sedang berperang dan ini termasuklah Wan Darus.
Dengan hati yang berat Mahsuri terpaksa melepaskan suaminya yang tercinta pergi, tambahan pula Mahsuri seperti dapat merasakan yang beliau seperti tidak akan dpat berjumpa suaminya lagi. Untuk menghilangkan rasa rindu terhadap suami, Mahsuri berpindah ke rumah ibu bapanya, tambahan pula beliau sedang sarat mengandung. Setelah cukup sembilan bulan sepuluh hari, maka lahirlah tanda cinta antara Mahsuri dan Wan Darus, seorang bayi lelaki yang dinamakan Wan Hakim.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Kedamaian hidup Mahsuri bakal berubah apabila seorang pendatang tiba berlabuh di pantai Langkawi, seorang lelaki muda bernama Deramang. Deramang dikatakan berasal dari sebuah tempat bernama Batu Bara di Acheh. Beliau mendapat perhatian oleh ayah Mahsuri, Pandak Mayah dan beliau ditawarkan bekerja untuknya membantu bercucuk tanam dan bertani. Namun selain dari rajin dan gigih, Deramang memiliki bakat semulajadi yang luar biasa iaitu kebolehan berdendang dan bersyair. Kebolehannya itu menarik perhatian penduduk setempat berkumpul dirumah Pandak Mayah hampir setiap malam, dan dengan ini menaikkan nama Mahsuri sekeluarga.
Kemahsyuran melimpah ruah yang diperolehi oleh Mahsuri itu ternyata tidak disenangi sesetengah orang, yang tentunya iparnya sendiri, Wan Mahora yang telah sekian lama menyimpan rasa dendam dihati. Tambahan pula kedudukannya sebagai isteri pembesar mula dilupakan orang, berbanding iparnya sendiri, Mahsuri. Iri hati yang telah lama tersimpan bertukar menjadi luka yang bernanah dan Wan Mahora mengambil keputusan, sampai masa Mahsuri harus menerima balasan! Sesuatu rancangan sedang bercambah dalam pemikirannya...
Wan Mahora memerhatikan keakraban Mahsuri dan Deramang dan disitu, beliau melihatnya sebagai peluang yang tak patut dilepaskan. Isteri pembesar itu membisikkan kata-kata racun kepada suaminya Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya. Pada mulanya Wan Yahya tidak mengendahkan tapi apabila sudah tidak mampu menahan asakan, Wan Yahya bertindak untuk memerhatikan tindak-tanduk Mahsuri. Rancangan Wan Mahora berhasil apabila kebetulan suatu hari Deramang dilihat naik ke rumah Mahsuri yang tanpa disedari Deramang hanya diminta untuk menjaga anak Mahsuri, Wan Hakim, sementara Mahsuri berada di bendang. Lantas, Datuk Pekerma Jaya memerintahkan orang-orangnya, diketuai oleh Panglima Hitam, menangkap Mahsuri. Mahsuri diseret ke Balai Adat di sebuah tempat bernama Padang Mat Sirat untuk diadili bersama-sama Deramang. Dan tanpa diberi peluang untuk membela diri, Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh! Wan Mahora dalam diam tersenyum puas...
Pandak Mayah dan Endak Alang terperanjat dengan apa yang dikhabarkan orang mengenai anaknya lantas bergegas menuju ke Padang Mat Sirat demi membela Mahsuri. Pandak Mayah menawarkan segala emas, kerbau dan segala harta kekayaannya demi nyawa puteri tunggalnya namun ditolak mentah oleh Datuk Pekerma Jaya, dengan alasan, dosa yang dilakukan Mahsuri-bermukah dan melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain tidak dapat diampunkan. Mahsuri dibawa ketempat hukuman dan diikat di sebatang pokok. Deramang cuba menentang namun berjaya dia dibunuh oleh orang-orang Datuk Pekerma. Dan kini tiba masa giliran Mahsuri.
Tempat hukuman tersebut dipenuhi oleh orang kampung yang ingin menyaksikan hukuman yang bakal diterima oleh Mahsuri. Pandak Mayah dan Endak Alang masih belum putus asa masih terus cuba merayu dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora demi nyawa Mahsuri dan anaknya yang baru berusia dua bulan dan masih menyusu. Namun langsung tidak mendapat simpati dari pembesar itu. Padanya, aib yang dilakukan Mahsuri terlalu besar dan memalukannya sebagai ipar kepada Mahsuri. Sebatang tombak ditikam ke badan Mahsuri tapi dengan kuasa Allah, amat mengejutkan semua mereka yang berada ditempat hukuman, tombak tersebut langsung tidak dapat menembusi malah melukakan tubuhnya! Keadaan ini memaksa pertanda menikam Mahsuri bertubi-tubi. Ini menjadikan keadaan bertambah kalut, dan pastinya mencemaskan Wan Mahora, seandainya peristiwa aneh ini akan dapat membuktikan yang Mahsuri tidak bersalah pastinya akan mengundang aib kepadanya. Lantas Wan Mahora menyeksa Mahsuri demi memberitahunya akan rahsia bagaimana hendak membunuh Mahsuri.
Mahsuri yang terlalu lemah dan tidak bermaya sudah tidak mampu menahan seksaan dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora, lantas dengan berat hati yang teramat sangat terpaksa memberitahu akan sebuah rahsia keluarga yang telah lama terpendam. Seorang utusan dititahkan bergegas ke Kampung Mawat, untuk mendapatkan sebilah keris pusaka keluarga Pandak Mayah yang didakwa Mahsuri, satu-satunya senjata yang dapat memutuskan nyawanya. Tanpa membuang masa apabila keris itu berjaya diperolehi, Datuk Pekerma sendiri mengambilnya dan menikam Mahsuri! Tikamannya menembusi rusuk kiri dan buah dada Mahsuri. Dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, menantikan nyawa melepasi kerongkongnya...Mahsuri melafazkan kata-kata yang bakal diingati sepanjang zaman...
" Ya Allah, Ya Tuhan Yang Maha Melihat Segalanya, aku redha akan matiku jika benar aku bersalah tapi jika benar aku dianiaya...ssesungguhnya aku haramkan darahku mengalir ke bumi ini, dan aku sumpah, bumi Langkawi tidak akan aman, berpuakalah menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!"
Dan lebih memeranjatkan, darah yang mengalir dari luka tikaman itu berwarna putih, membuktikan penganiayaan yang berlaku keatasnya...namun segalanya sudah terlambat. Mahsuri terkulai dan menghembuskan nafas yang terakhir. Kuasa Allah Yang Maha Besar, kilat sabung menyabung dan ribut melanda Padang Mat Sirat. Kejadian yang menyusul kematian Mahsuri membuktikan yang dia tidak bersalah dan orang ramai mula mengutuk tindakan membabi buta yang dilakukan oleh Datuk Pekerma Jaya. Tapi, segalanya sudah terlambat...
Wan Darus pulang ke Langkawi setelah kekalahan tentera Kedah di Kuala Muda namun kekecewaan yang sedang ditanggungnya bertimpa-timpa lagi apabila menerima berita kematian isteri tercinta. Harapan untuk kembali bersama keluarga yang sekian lama dirindui punah dan hancur. Dengan itu, bersama langkah yang berat, Wan Darus mengambil keputusan untuk meninggalkan Langkawi yang sudah tidak lagi menjanjikan kebahagiaan padanya, bersama anaknya Wan Hakim serta kedua ibu bapa mertuanya, Pandak Mayah dan Endak Alang. Tetapi, keadaan masih belum berakhir di Langkawi...
Tentera Siam mara keseluruh pelusuk Kedah, termasuklah Pulau Langkawi, genap tujuh hari selepas kematian Mahsuri. Segalanya punah, hancur dan kematian berlaku dimana-mana. Datuk Pekerma Jaya dibunuh dan dilapah oleh tentera Siam dan mayatnya dicampakkan di Sungai Langkanah. Manakala isterinya Wan Mahora, bersama wanita-wanita Langkawi yang lain, dirogol dan dijadikan hamba abdi oleh tentera Siam. Angkara hasad dengki dan fitnah, Langkawi menerima padah yang terlalu hebat. Penyesalan sudah tidak berguna lagi sebaliknya Langkawi hanya mampu menerima bahana, dan sumpahan Mahsuri kekal menghukum Langkawi untuk tujuh keturunan kemudiannya.
Ulasan
Catat Ulasan