Langkau ke kandungan utama

Sultan Mahmud Mangkat Dijulang


Kota Tinggi, Johor. 1699

Lanun bermaharajalela! Dari arah Sedili Besar hingga ke kepulauan Riau dan Pulau Penyegat, seluruh perairan Johor di kuasai oleh lanun. Kapal-kapal perdagangan begitu gusar untuk memasuki pelabuhan Johor kerana bimbang diserang mereka. Tak kurang juga penduduk-penduduk setempat yang tinggal disepanjang pantai kawasan tersebut. Sudah berapa lama nelayan bimbang untuk keluar ke laut. Keadaan terlalu menakutkan...Tapi tidak di Kota Tinggi. Pusat kerajaan Johor Lama. Terlalu gagah pertahanannya, dibawah kawalan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan Temenggung. Dan perlindungan yang begitu rapi ini membuatkan Sultannya yang masih muda berasa sangat selamat-Sultan Mahmud Syah II.

Pahlawannya pula sangat berwibawa dan bersedia untuk mengorbankan diri demi Sultannya pada bila-bila masa. Antaranya Laksamana Megat Seri Rama, laksamana muda yang datang ke Kota Tinggi dari sebuah wilayah jauh di selatan Kerajaan Johor, Pulau Bentan. Dan juga kerana tempat asalnya itu, beliau digelar Laksamana Bentan. Laksamana Bentan mendapat tempat yang istimewa di mata Sultan Mahmud kerana jasa-jasanya mempertahankan negeri dari ancaman musuh. Kerana itu Laksamana muda itu begitu cepat mencapai kedudukannya sekarang. Namun, sudah menjadi adat dalam masyarakat melayu, kadang-kadang kejayaan seseorang itu, selain dari memberi kegembiraan dan kebanggaan, turut mengundang hasad dengki kepada orang lain. Orang itu adalah Tun Bija Ali!

Sudah terlalu lama Tun Bija Ali berkhidmat kepada Kerajaan Johor, sejak dari zaman Almarhum ayahanda Sultan Mahmud hinggalah sekarang, masih belum mendapat perhatian dari Sultan. Tambahan kehadiran Laksamana baru itu, kini, Baginda Sultan seakan endah tak endah akan dirinya. Hati siapa tidakkan sakit?

Sakit hatinya bertambah-tambah lagi apabila Laksamana Bentan itu berjaya memiliki seorang dara yang juga ingin dimilikinya, Wan Anum. Gadis itu memang digilainya sejak kali pertama gadis itu menjejakkan kaki ke Kota Tinggi, setelah kematian ibu dan ayahnya dibunuh lanun di Mersing. Dia diselamatkan oleh Laksamana Megat Seri Rama dari tangkapan lanun tersebut sedikit masa dahulu dan dibawa ke Kota Tinggi untuk tinggal bersama datuk dan neneknya, Pak Mahad di Kota Tinggi. Sejak itu Wan Anum berkenan dengan Laksamana yang muda itu, dan ternyata, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Dan Laksamana Megat Seri Rama mengambil keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri, memandangkan Wan Anum seorang yatim piatu dan tambahan pula gadis itu amat luar biasa, lemah lembut dan cantik pula. Berkahwinlah mereka berdua dan tidak lama lagi pasangan muda itu bakal menimang cahaya mata. Wan Anum kini sedang berbadan dua dan hanya selang sebulan dua untuk menimang cahaya mata sulung.

Namun keadaan tidak selalunya seperti diharapkan. Harapan Wan Anum untuk bersama suami tercinta apabila dia melahirkan anaknya nanti tidak kesampaian. Baginda Sultan telah mengeluarkan perintah yang bahawa Laksamana Megat Seri Rama perlu mengetuai angkatan tentera Johor menentang lanun sekali lagi. Keadaan ancaman lanun lebih hebat kali ini dan ini memaksa Laksamana tidak lagi dapat menangguhkan lagi perintah baginda, walau bagaimana sekalipun beliau bimbangkan keadaan isteri tercinta. Dan Wan Anum perlu memahami keadaan tugas suaminya dan itu janji pada dirinya sejak dari hari pertama dia menerima lamaran Laksamana muda itu. Demi negara, dia rela, dan ini pun demi keselamatan dirinya juga. Dengan berat hati Wan Anum melepaskan Laksamana Megat Seri Rama pergi menjalankan tugas dilautan. Sepeninggalannya, Laksamana Megat Seri Rama mengamanahkan sahabat baiknya Tun Aman dan kakaknya Tun Khatijah menjaga isterinya Wan Anum.

Namun seseorang sedang memerhatikan peluang ini sebagai peluang yang amat menguntungkan. Keadaan Wan anum yang seorang diri tanpa suami disisi, akan dipergunakan sebaiknya, paling tidak untuk merasai wanita yang dulu pernah terlepas dari genggaman itu. Pada suatu malam, Tun Bija Ali menyusup masuk ke rumah Laksamana yang pada waktu itu Wan Anum sedang keseorangan. Wan Anum yang terperanjat tapi tidak mudah melatah. sekalipun berbadan dua, dia mencuba sedaya upaya menentang akan pencerobohan biadap Tun Bija Ali itu. Dan kegagalan itu membuatkan Tun Bija Ali tidak senang duduk. Bagaimana jika rahsia itu pecah dan sampai ke pengetahuan Laksamana? Pastinya Laksamana akan mengambil tindakan dan membunuhnya....jadi sebelum Laksamana bertindak keatasnya, biar dia bertindak dahulu.

Sudah hampir 2 bulan Laksamana pergi dan Wan Anum hanya mampu berdoa kepada doa demi keselamatan suami tercinta. Kandungannya semakin sarat. Tapi ada satu perkara yang membuatkan dia gelisah. Terlalu sukar hendak mendapatkan nangka kerana sekarang bukanlah musimnya berbuah, tapi itulah yang amat diidam-idamkan. Kecur tekaknya apabila mengenangkan ulas nangka yang manis tapi dimana hendak dicari? Awang, budak khadamnya itu sudah penat mencari, dari Kampung Bendahara ke Kampung Tembioh, dan seluruh Kampung Kelantan tempat tinggalnya itu masih tidak berjumpa. Setiap batang pokok nangka dibelek, usahkan buah, putik pun tiada.

Namun seakan harapan mula berputik bila terlihat Penghulu sedang mengusung sesuatu di bahu melintasi rumahnya. Dan ternyata ianya sebiji nangka yang sedang masak ranum dan luar biasa pula besarnya dalam perjalanan untuk dipersembahkan kepada Sultan. Wan Anum merayu untuk menjamah sedikit dari buah tersebut, seulas pun jadilah. Semata-mata untuk melepaskan rasa mengidam yang meluap-luap. Rasa simpati mencurah lalu diberikan seulas dari seluruh buah nangka tersebut. Tapi janji dibuat antara mereka berdua, jangan dibiarkan sesiapa yang lain tahu kelak badan binasa.

Malangnya Sultan Mahmud mencurigai akan buah nangka tersebut apabila terlihat akan kesan tebukan kecil pada kulitnya dan getah yang mengalir. Dan apabila dinyatakan angkara siapa, lalu Tun Bija Ali yang kebetulan berada bersama Sultan ketika itu sedar akan peluang ini tidak boleh dilepaskan. Dendam harus dilunas. Lalu dibisikkan kata hasutan, bahawa tindakan Wan Anum yang merasai nangka tersebut sebelum baginda ternyata membawa aib dan ternyata derhaka kepada baginda. Baginda Sultan yang termakan hasutan ternyata amat murka dan segera menitahkan Wan Anum mengadap. Wan Anum yang sedar keadaannya dirinya sedang terancam merayu kepada baginda bahawa tindakannya semata-mata kerana beliau sedang mengidam dan buah nangka yang dimakannya adalah kerana kehendak anak didalam kandungannya. Ternyata kata-katanya membawa padah! Sultan Mahmud menitahkan agar perut Wan Anum dibelah semata-mata untuk membuktikan dakwaannya! Tun Bija Ali amat gembira menerima titah tersebut, rahsianya akan terus berkubur, Wan Anum akan menerima padah dan dirinya akan terselamat.

Alangkah malang dan terseksa nasib Wan Anum, sembah rayu tidak dipandang oleh baginda....dan Wan Anum akhirnya terkulai, dengan kandungannya yang terburai. Tapi kuasa Allah Yang Maha Besar. Dakwaan Wan Anum ternyata benar, apabila terlihat oleh baginda dan Tun Bija Ali, terdapat cebisan nangka di mulut janin Wan Anum! Namun itu tidak membawa apa-apa kesan kepada Sultan Mahmud dan Tun Bija Ali, malah diperintahkan seluruh isi istana merahsiakan apa yang telah berlaku terutamanya dari pengetahuan Laksamana Megat Seri Rama.

Angkatan tentera Johor menang besar dengan berjaya mengalahkan lanun dan Laksamana Megat Seri Rama sudah tidak sabar benar hendak pulang ke Kota Tinggi untuk bertemu anak isteri yang pada jangkaannya tentu Wan Anum telah pun melahirkan zuriat mereka. Namun khabar mengatakan Wan Anum meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka meluluhkan jiwa laksamana tersebut. Terlalu kecewa dan pedih dihatinya. Pada suatu hari, sewaktu berjalan pulang dari kubur, hujan renyai turun memaksa laksamana itu mencari tempat perlindungan dan dia singgah berteduh dibawah bumbung sebuah rumah pekerja istana. terdengar olehnya akan perbualan suami isteri didalam rumah tersebut mengenai penganiayaan dan dilakukan oleh Sultan Mahmud keatas Wan Anum. Rasa amarah meluap-luap dan membara, membakar rasa dendam yang teramat sangat. Tambahan pula, Tun Aman sahabat baiknya membuka rahsia, yang semua ini angkara dari Tun Bija Ali! Lalu sebuah pakatan dibuat untuk menyelesaikan kedua binatang bedebah tersebut.

Tun Bija Ali seorang yang kaki perempuan, walaupun telah beristeri empat tapi masih menggilai perempuan lain, antaranya Tun Khatijah, kekanda Tun Aman. Dan peluang ini digunakan oleh Tun Aman untuk memerangkap Tun Bija Ali dan hasilnya, Tun Bija Ali berkubur ditengah hutan tanpa diketahui sesiapa! Tersenyum puas Laksamana Bentan kerana orang yang menjadi onar telah pun menerima akibatnya namun itu belum cukup...

Pada suatu malam Jumaat, diperasap diasam keris panjang dan keris pendua. Esok, bumi Kota Tinggi bakal menjadi bertuah, dimana ditanahnya akan melimpah darah seorang Raja. Menjelang tengahari, sewaktu penduduk Kota Tinggi berpusu-pusu menuju ke Masjid Besar untuk menunaikan solat Jumaat, hujan renyai panas membasahi bumi. Sultan Mahmud Syah sedang dijulang pengiring-pengiringnya dari atas tandu ke tangga istana. Dan tiba-tiba Laksamana Megat Seri Rama muncul, menghalang laluan baginda. Diatas julangan tersebut, baginda ditikam dirusuk kiri membuat baginda dan orang-orangnya terpana, terkejut dengan apa yang berlaku. Tetapi dalam keadaan nazak, Baginda mencabut keris kerajaan yang tersisip dipinggangnya, lalu dilontar ke kaki Laksamana, lantas memaku Laksamana itu kebumi, sambil melafazkan kalimah

"Jika benar beta Raja berdaulat, beta haramkan sebarang anak Bentan dan seluruh keturunannya memijak bumi Kota Tinggi, jika diingkar beta sumpah muntah darah hingga putuslah nyawa!"

Dan tak semena-mena, Laksamana yang sedang cuba mencabut keris dikakinya, memuntahkan darah yang membuak-buak lalu rebah dikaki tangga masjid. Sementara Sultan Mahmud Syah mangkat diatas julangan pengiringnya. Sejak dari peristiwa itu baginda yang merupakan keturunan Kesultanan Melaka yang terakhir, digelar orang Marhum Mangkat Dijulang dan tidak meninggalkan sebarang pewaris takhta. Manakala diceritakan orang, sumpahan baginda masih tegar dan keras dibumi Kota Tinggi, Johor. Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Makam dan Laksamana Megat Seri Rama pula, dikebumikan bersebelahan dengan kubur isteri dan anaknya di Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor.


Ulasan

  1. Mengikut catatan pelayar British yg singgah di kota tinggi masa pemerintahan Sultan Mahmud itu, sultan dikatakan zalim dan suka membuat onar. Baginda seorang homosexual yg melanggani anak² pembesar yg jambu² termasuk orang istana. Ketika kapten British itu singgah, Sultan perkenan dgn andk kepada pegawai kspal . Sultan arahkan by hook or by crook budak itu perlu diserahkan kepada baginda. Kapten itu melindungi mereka. Kisah ini juga dicatatkan dlm buku terbitan negara Malaysia Kita.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Keunikkan Dan Maksud Lok Keris Melayu

Keris merupakan salah satu senjata bagi kebanyakan hulubalang dan pahlawan Melayu suatu ketika dahulu. Keris juga melambangkan kegagahan, keperwiraan, kedudukan atau darjat pemiliknya. Keris dibuat/ditempa khusus untuk seseorang individu berdasarkan kehendak, keperluan dan kesesuaian yang mana boleh mewujudkan pertalian antara keris dan pemiliknya. Pemilihan bahan-bahan yang digunakan bagi membentuk sesebuah keris juga merupakan salah satu perkara utama yang diberi perhatian oleh pembuat senjata. Unsur mistik juga sering dikaitkan dengan keris dimana sesetengah keris yang dibuat khas mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu memberi kelebihan kepada pemiliknya seperti Keris Taming Sari. Keistimewaan berkenaan memerlukan jagaan rapi dan adakalanya membuatkan keris berkenaan sukar untuk bertukar milik/tidak boleh berpindah milik sebarangan. Saya kali ini akan menerangkan dengan ringkas mengenai maksud bagi bilangan lok yang terdapat pada Keris Melayu. Jika diperhatikan, Keri

Tujuh Wali Di Tanah Melayu

Mengenali secara ringkas wali tujuh di tanah melayu 1. AS SAYID HABIB NUH Peranannya TersembunyiHadiri Sidang Wali-Wali Menunduk Gabenor yang Angkuh Wasiat Supaya Dikebumi Atas Bukit.Di Singapura, nama As Sayid Habib Nuh sudah tidak asing lagi. Beliau berketurunan Rasulullah SAW menerusi nasab Zainal Abidin bin Sayadina Hussien r.a. Maqamnya yang terletak di atas sebuah bukit kecil di Jalan Palmer, sering dikunjungi pelawat teruatama hari-hari cuti. Pengunjung maqam itu bukan saja daripada kalangan orang Islam Singapura dan Malaysia tetapi ramai juga dari negara-negara Asia lain. Ini menunjukkan Habib Nuh r.h. lebih masyhur selepas kematiannya berbanding semasa hayatnya. Sebagai seorang wali Allah, pelbagai cerita pelik dan luar biasa berlaku pada dirinya, dan cerita-cerita itu belum ditulis dalam bentuk buku dan manakib. Tulisan ini memaparkan sebahagian daripada keistimewaan, karamah dan kejadian-kejadian aneh yang berlaku ke atasnya yang menggambarkan beliau sebagai orang

Jenis Ikatan Sampin Orang Melayu

Kain samping atau ‘samping’ menurut Kamus Dewan sebagai kain sarung yang dipakai selepas memakai seluar pada (pakaian Melayu) dan biasanya dari paras pinggang hingga paras lutut sahaja. Samping pula merujuk kepada ‘rusuk’. Kain samping, kadang kalanya menggunakan kain sarung sahaja. Kain samping ini juga sebagai ‘sampingan’ atau pelengkap dalam pemakaian baju Melayu. Ia dianggap sebagai salah satu bahagian penting dan menjadi pelengkap kepada lelaki Melayu semasa memakai pakaian tradisi baju Melayu. Ia diikat dari paras pinggang hingga jatuh ke aras lutut sahaja. Namun, ia dikecualikan kepada kanak-kanak lelaki kerana ia didapati lebih sesuai jika tidak bersamping. Jenis Jenis Ikatan Ikatan Pancung Cara memakai kain samping yang menggunakan kain lepas. Kain dililitkan di pinggang dan sebelum sampai ke hujung kain, kain ini “dipancung”, iaitu kain disemat sambil membiarkan hujung kain terkulai ke bawah. Ikatan Kembung Ini adalah cara memakai kain samping yang biasa dipakai